Thursday, May 5, 2011

Isteri : Kufur Al-Asheer

“Kita pergi Mid Valley macam mana?”

Pada awal perkahwinan, semasa sedang dan masih menyesuaikan diri kami merancang untuk keluar berdua. Pertama kalinya. Janggal sekali.Namun, kami mampu berkomunikasi dengan baik dan mesra. Sekalipun kami menatap wajah masing-masing buat kali kedua hanya selepas nikah. Walaupun sudah boleh berbual seperti biasa, namun masih belum seperti suami isteri lain gayanya. Menyenangkan. Canggung. Ada bibit mesra. Semuanya berkumpul. .

Saya mencadangkan. Saya tidak suka membeli-belah. Namun kalau ada keperluan saya pergi juga. Suami memberitahu beliau ingin mencari buku Medical beliau. Di sana ada MPH dan bolehlah sekali kami membeli buku dan berjalan bersama-sama. Lagipun dalam tiga hari kami akan ke Kuantan untuk meraikan majils kenduri pihak lelaki. Selepas itu terus ke Terengganu.

Saya tak kisah. Saya ikut sahaja.

Suami menjawab sambil tersenyum.

Selepas menyalami keluarga kami keluar menaiki kereta. Dalam hati rasa ripuh berlaga-laga.

Naik kereta bersama lelaki? Huh, macamana agaknya ni?

Kami mengambil LRT di Batu Tiga dan menuju Mid Valley.

Masih mencari-cari keserasian bersama, kami berbual panjang. Saya tidaklah rasa begitu malu sekalipun canggung. Semuanya kerana bantuan Allah juga, DIA memudahkan kami menyesuaikan diri. Paling utama, kami menjadi diri kami dan berterus terang dalam semua perkara. Jika tersadung kaki, kami ketawa bersama-sama. Ini metafora.

Dalam masa menyesuaikan diri, suami menghulurkan telefon beliau kepada saya. Di atas skrin itu, tertera Hadis Sohih Bukhari.

“Diperlihatkan kepadaku Neraka, sesungguhnya kebanyakan penghuninya adalah wanita, mereka itu mengkufuri”. Lalu Baginda SAW ditanya: apakah mereka itu mengkufuri Allah? Rasulullah SAW menjawab, “mereka itu mengkufuri suami (atau nikmat-nikmat berumahtangga), dan mereka mengkufuri Ihsan. Tatkala kamu melakukan yang terbaik kepada salah seorang daripada mereka sepanjang tahun, tetapi kemudiannya dia melihat sesuatu yang tidak kena padamu, nescaya dia akan berkata (kepada suaminya): aku tidak nampak satu apa pun kebaikan padamu!”

Keratan tersebut beliau ambil dari artikel ustaz Hasrizal di laman web beliau di bawah artikel “Permulaan Yang Baik Bukan Jaminan”

Maksud hadis tersebut sekalipun sudah biasa kita jumpa dan tulisan tersebut mungkin telah kita baca, namun setelah bergelar isteri lain sekali tindak balasnya. Saya menyimpan makna hadis tersebut sebagai garis pandu saya. Sekalipun suami tidak mengulas lanjut, namun saya memahaminya.

REALISTIK

Ya, kita harus bersikap realistik. Permulaan yang baik bukan jaminan. Sekalipun dimulai dengan baik jika tiada usaha penerusan atau erti kata lain, istiqomah maka kelansungan kebahagian rumahtangga akan terhenti. Ia perlu komunikasi. Hormat. Sabar. Syukur. Redha. Terima seadanya. Persefahaman. Perlu lebih dari sebuah cinta.

Ruqayya Waris Maqsood dalam Muslim Marrige Guide ada menyebut:-

For it is love which makes a marriage - not a soppy, sentimental kind of romantic dream, but the sort of love which will roll up its sleeves and get stuck into the mess; the sort of love which will hang on to you when everyone else has turned against you and is speaking wrongly of you, while you have confidence that your partner (who knows you better than any person) will justify that confidence, and spring to your defense.

Sounds too good to be true? Those of you who have grown up in unhappy circumstances, in families shaken by frustrations and depressions, where the adults were bitter and cynical, and overauthoritarian, may well wonder if it is possible to have such a loving relationship with another human being.

By the grace of God, it is possible, and it is what Allah intended for you, by the practice of Islam which is submission to His compassionate will.

But a happy marriage is not simply `made in Heaven’. It does not just happen by accident.

You could go into a most beautiful garden and be amazed at the profusion and lushness of the flowers, the neatness of the borders and grasses, the absence of marauding insects and pests - and you would never for a moment think that this had come about by accident. You would know, straight away, that the garden had been created by a person or team of people who loved gardening, and no matter what the setbacks and problems were determined to produce a thing of great beauty and joy. A marriage is cultivated in exactly the same way.

Bak kata pepatah Inggeris

“It takes two to tango”

Atau pepatah lain

“Marriage failed when one’s stop trying”

Tidak kira apa punca dan sebab, jika salah satunya berhenti mencuba dan berusaha, maka rumahtangga akan berakhir sekalipun keduanya masih saling menyintai antara satu sama lain. Sekalipun salah seorangnya masih tetap mencuba.

Ketika itu saya merasakan sebagai permulaan untuk usaha memberi kebahagian yang berpanjangan saya memegang hadis tersebut sebagai papan tanda saya. Jika mungkin saya tersesat dalam kehendak dan runtunan emosi yang tiada punca saya berharap agar papan tanda itu memberi isyarat ingat pada saya. Saya cuba paling tidak menjauhi sikapkufr al-asheer. Cuba menerima seadanya.

Satu perkara yang perlu kita ingati, perkahwinan adalah suatu perkara dan bukannya segala-galanya.

Prinsip saya. “Marriage is something but it is not everything

Bila menerima seadanya, ada banyak perkara yang dapat kita lakukan, hargai dan fikirkan.

KUFR AL-ASHEER

Al-Asheer bermaksud dalam bahasa arab, ahli keluarga atau suami jika melihat konteks -siyaghul hadis- di atas.

Sebagai perempuan dengan kelemahan dan kekurangan yang ada, membuatkan fitrah dan sikap semulajadi wanita untuk sering rasa tidak bersyukur, mengeluh dan merasa tidak cukup dengan apa yang suaminya lakukan. Ini realiti. Sekalipun pada wanita yang mengaku beriman atau jahil. Mungkin pada saya, pada anda dan pada kita semua.

Cuba kita bayangkan, apakah yang telah suami kita lakukan untuk kita. Sekalipun penat pulang dari kerja, beliau melayan dan mendengar bicara dan cerita kita. Bila kita tidak mampu membuat kerja, beliau menggantikan kita dan melayan penuh sabar dan lemah lembutnya. Bila kesihatan kita diuji, mereka menguruskan kita dengan cinta dan kasih. Bila kita mengadu, mereka mendengar penuh tekun dan minat sekalipun mungkin keluhan kita tidak ada makna dan hanya cicipan biasa sahaja.

Begitulah suami. Tekanan kerja dan tanggungjawab dakwah yang pelbagai sepatutnya kita teladani dengan syukur dan qanaah. Apa lagi yang kita inginkan dalam hidup ini selain daripadanya?

Kufr pada kebaikan suami.

Dalam erti kata lain, tidak pernah puas. Tidak pernah rasa cukup. Tidak pernah rasa suaminya melakukan kebaikan. Seandainya berlaku konflik, kebaikan suami dilupakan atau seolah-olah tiada lansung dan kelemahan suami dibangkitkan. Jauhi mulut yang berbisa dan hati yang keras.

Dari Abdullah bin Umar katanya, Rasulullah bersabda yang bermaksud, “Wahai kaum wanita, bersedekahlah kamu dan banyakkan beristighfar iaitu memohon ampun. Kerana aku melihat kaum wanitalah yang lebih ramai menjadi penghuni neraka.” Seorang wanita yang cukup pintar antara mereka bertanya, “Wahai Rasulullah, mengapa kami kaum wanita yang lebih ramai menjadi penghuni neraka?” Rasulullah bersabda, “Kamu banyak mengutuk dan mengingkari suamiAku tidak melihat mereka yang kekurangan akal dan agama yang lebih menguasai pemilik akal, daripada golongan kamu.” Wanita itu bertanya lagi, “Wahai Rasulullah! Apakah maksud kekurangan akal dan agama itu?” Rasulullah bersabda, “Maksud kekurangan akal ialah penyaksian dua orang wanita sama dengan penyaksian seorang lelaki. Inilah yang dikatakan kekurangan akal. Begitu juga wanita tidak mendirikan sembahyang pada malam-malam yang dilaluinya kemudian berbuka pada bulan Ramadhan kerana haid. Maka inilah yang dikatakan kekurangan agama.”

Sekalipun konteks perbincangan mafhum Hadis di atas dalam aspek penyaksian dan ibadah dan dalam perbahasannya namun bukan di ruang ini saya ingin mengulasnya. Walaubagaimanapun tidak dapat dinafikan akan peringatan dari Rasulullah saw yang berbunyi yang boleh diambil peringatan untuk kita:-

Kamu banyak mengutuk dan mengingkari suami”

Jesteru, jadilah kita wanita yang bersyukur. Cukup dengan apa yang ada. Tidak meminta-minta. Tidak membebankan suami dengan perkara yang tidak perlu. Menghargai. Qanaah. Syukur. Pasti dicakupkan semuanya untuk kita.

Untuk suami saya ingin memetik kata-kata Ustaz Hasrizal:-

Teladannya, wahai suami, sentiasalah berlaku Ihsan, memberikan yang terbaik, dan terus bertanding dengan diri sendiri untuk mengatasi terbaik yang telah dilakukan sebelum ini. Namun bersabarlah andai isteri terlupa menghargainya. Jangan dibiarkan isteri berada dalam keburukan dengan membiarkan dirinya tenggelam dalam prasangka itu, kerana ia menjadi asbab seorang isteri terhumban ke neraka. Sebaliknya tenangkanlah dia, pegang tangannya, dan ajaklah dia kepada sifat syukur.

KESIMPULAN

Ya, untuk permulaan yang baik. Mulai dulu dengan diri kita. Andai diberi suami yang dapat memberi yang terbaik dalam memenuhi kehendak dan harapan kita maka kita bersyukur. Jika diberi suami yang mungkin tidak peka pada kehendak dan tuntutan perasaan isteri, maka berbicaralah dan berkomunikasilah dengan kalam yang baik dan bersyukurlah. Kiasan yang tidak menuduh atau mengkritik terus pasti dapat membantu. Jika itupun masih belum bekesan, usaha terus dalam syukur yang tak pernah mati. Usaha dan syukur. Jangan pernah berhenti. Dan jangan pernah mengkufuri kebaikan suami. Sekalipun sangat sedikit. Kerana mereka yang berada dikalangan yang bersyukur sangat sedikit.

Pada waktu Amirul Mukminin, Umar bin al Khottab bertawaf, beliau selalu mendengar do’a dari seorang pemuda yang isinya agak aneh. Pemuda tersebut selalu mengulang-ulang do’anya “Allahummaj’alni minal qolil (Ya Allah, jadikanlah aku termasuk dari kalangan yang sedikit)”. Selesai bertawaf, Umar bin Khattab bertanya padanya,”Wahai pemuda, kenapa anda berdo’a seperti itu?”. Pemuda menjawab,”Tidakkah Amirul Mukminin mendengar firman Allah ‘Wa Qolilummin ‘ibadiyasy-syakur’(Dan sedikit dari kalangan hamba-hambaku yang bersyukur) (As.Saba 13), Ya Amirul Mukminin, sungguh saya sangat berharap menjadi yang sedikit tersebut. Karena yang mau bersyukur pada Allah dan yang berkeinginan untuk selalu berbuat baik sangat sedikit.” Demikian kata pemuda tersebut.

Memetik lagi penutup Ustaz Hasrizal dalam artikel yang sama.

Terimalah rumahtangga sebagai sebuah medan perjuangan. Penyertaan kita ke dalamnya dengan segala kelengkapan, bukanlah jaminan kepada kemenangan. Kita tidak tahu apakah bentuk musuh yang bakal menyerang, tidak pasti bagaimanakah peritnya pertempuran yang bakal melanda. Namun sekurang-kurangnya dengan persediaan yang baik di sebuah permulaan, doa kita kepada-Nya tidak palsu kerana ia dilafaz selepas USAHA.

Sesungguhnya permulaan yang baik, bukanlah suatu jaminan. Ia hanya sebuah permulaan…

Satu permulaan kepada halatuju yang utama. Memetik petikan buku Ruqayya Waris Maqsood yang memebawa maksud yang sama:-

But marriage is also a most demanding training ground of faith. By claiming it to be `half the religion’ the Blessed Prophet was not making an idle statement. When a human couple strive hard to get their marriage and family right in the eyes of God, they are indeed well on the road to Paradise.

Ya, ia medan berjuang. Medan menguji iman. Medan bahagia dan mungkin derita. Iman, usaha, syukur dan penyerahan pada Allah kayu ukurnya. Sifirnya mudah, namun payah untuk melaksankannya. Pada suami ada tanggungjawab. Ada bebanan. Jika mereka cuai, mereka akan dihisab. Pada isteri, ada tuntutan syukur dan sabar. Ada tuntutan sifat qanaah. Kedua saling membutuhkan dan melengkapi. Saling menyempurnakan. Suami seorang manusia. Punya kekurangan. Kita apatah lagi. Kelemahan yang tidak terkira banyaknya.

“Barang siapa yang bersyukur (kepada Allah), maka sesungguhnya ia bersyukur untuk dirinya sendiri, dan barang siapa yang tidak bersyukur maka sesungguhnya Allah Maha Kaya Lagi Maha Terpuji.’’ (Lukman :12)

p/s: Buat suamiku, di atas kebaikanmu yang melimpah ruah, penghargaan yang tidak putus-putus dan kata-kata yang hanya baik untukku sahaja yang kau beri, aku berterima kasih. Sekalipun aku tersalah, engkau menerimanya dengan kata-kata yang baik. Sekalipun silap, engkau memandangku dengan kasih. Tidak pernah sekalipun engkau mengeluh. Yang ada hanya pujian, ransangan dan kalam yang baik. Untuk seorang lelaki yang terbaik yang pernah kutemui, terima kasih.

————————
Nota Kaki

Ini tulisan ringkas. Sekadar berbasa basi. Jika ada kebaikan, maka ia milik Allah. Jika ada kekurangan, kelemahan saya sendiri. Malah, saya masih bertatih, masih hijau malah baru menjadi seorang isteri. Mungkin akan terjatuh dan terngadah juga kelak. Semoga Allah memelihara daripada semua itu. Buat suami juga, jangan lupa menghargai dan mensyukuri kebaikan isteri sekalipun dengan sentuhan dan kata-kata yang baik. Pasti bahagia tidak kunjung sudah:)

Monday, May 2, 2011

سُوۡرَةُ الشَّرح

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
أَلَمۡ نَشۡرَحۡ لَكَ صَدۡرَكَ (١)
وَوَضَعۡنَا عَنكَ وِزۡرَكَ (٢)
ٱلَّذِىٓ أَنقَضَ ظَهۡرَكَ (٣)
وَرَفَعۡنَا لَكَ ذِكۡرَكَ (٤)
فَإِنَّ مَعَ ٱلۡعُسۡرِ يُسۡرًا (٥)
إِنَّ مَعَ ٱلۡعُسۡرِ يُسۡرً۬ا (٦)
فَإِذَا فَرَغۡتَ فَٱنصَبۡ (٧)
وَإِلَىٰ رَبِّكَ فَٱرۡغَب (٨)

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani

Bukankah Kami telah melapangkan bagimu: Dadamu (wahai Muhammad serta mengisinya dengan iman dan hidayat petunjuk)? (1)

Dan Kami telah meringankan daripadamu: Bebanmu (menyiarkan Islam); (2)

Yang memberati tanggunganmu, (dengan memberikan berbagai kemudahan dalam melaksanakannya)? (3)

Dan Kami telah meninggikan bagimu: Sebutan namamu (dengan mengurniakan pangkat Nabi dan berbagai kemuliaan)? (4)

Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan, (5)

(Sekali lagi ditegaskan): Bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan. (6)

Kemudian apabila engkau telah selesai (daripada sesuatu amal soleh), maka bersungguh-sungguhlah engkau berusaha (mengerjakan amal soleh yang lain), (7)

Dan kepada Tuhanmu sahaja hendaklah engkau memohon (apa yang engkau gemar dan ingini). / (8)