Showing posts with label Karya Mereka. Show all posts
Showing posts with label Karya Mereka. Show all posts

Thursday, May 5, 2011

Isteri : Kufur Al-Asheer

“Kita pergi Mid Valley macam mana?”

Pada awal perkahwinan, semasa sedang dan masih menyesuaikan diri kami merancang untuk keluar berdua. Pertama kalinya. Janggal sekali.Namun, kami mampu berkomunikasi dengan baik dan mesra. Sekalipun kami menatap wajah masing-masing buat kali kedua hanya selepas nikah. Walaupun sudah boleh berbual seperti biasa, namun masih belum seperti suami isteri lain gayanya. Menyenangkan. Canggung. Ada bibit mesra. Semuanya berkumpul. .

Saya mencadangkan. Saya tidak suka membeli-belah. Namun kalau ada keperluan saya pergi juga. Suami memberitahu beliau ingin mencari buku Medical beliau. Di sana ada MPH dan bolehlah sekali kami membeli buku dan berjalan bersama-sama. Lagipun dalam tiga hari kami akan ke Kuantan untuk meraikan majils kenduri pihak lelaki. Selepas itu terus ke Terengganu.

Saya tak kisah. Saya ikut sahaja.

Suami menjawab sambil tersenyum.

Selepas menyalami keluarga kami keluar menaiki kereta. Dalam hati rasa ripuh berlaga-laga.

Naik kereta bersama lelaki? Huh, macamana agaknya ni?

Kami mengambil LRT di Batu Tiga dan menuju Mid Valley.

Masih mencari-cari keserasian bersama, kami berbual panjang. Saya tidaklah rasa begitu malu sekalipun canggung. Semuanya kerana bantuan Allah juga, DIA memudahkan kami menyesuaikan diri. Paling utama, kami menjadi diri kami dan berterus terang dalam semua perkara. Jika tersadung kaki, kami ketawa bersama-sama. Ini metafora.

Dalam masa menyesuaikan diri, suami menghulurkan telefon beliau kepada saya. Di atas skrin itu, tertera Hadis Sohih Bukhari.

“Diperlihatkan kepadaku Neraka, sesungguhnya kebanyakan penghuninya adalah wanita, mereka itu mengkufuri”. Lalu Baginda SAW ditanya: apakah mereka itu mengkufuri Allah? Rasulullah SAW menjawab, “mereka itu mengkufuri suami (atau nikmat-nikmat berumahtangga), dan mereka mengkufuri Ihsan. Tatkala kamu melakukan yang terbaik kepada salah seorang daripada mereka sepanjang tahun, tetapi kemudiannya dia melihat sesuatu yang tidak kena padamu, nescaya dia akan berkata (kepada suaminya): aku tidak nampak satu apa pun kebaikan padamu!”

Keratan tersebut beliau ambil dari artikel ustaz Hasrizal di laman web beliau di bawah artikel “Permulaan Yang Baik Bukan Jaminan”

Maksud hadis tersebut sekalipun sudah biasa kita jumpa dan tulisan tersebut mungkin telah kita baca, namun setelah bergelar isteri lain sekali tindak balasnya. Saya menyimpan makna hadis tersebut sebagai garis pandu saya. Sekalipun suami tidak mengulas lanjut, namun saya memahaminya.

REALISTIK

Ya, kita harus bersikap realistik. Permulaan yang baik bukan jaminan. Sekalipun dimulai dengan baik jika tiada usaha penerusan atau erti kata lain, istiqomah maka kelansungan kebahagian rumahtangga akan terhenti. Ia perlu komunikasi. Hormat. Sabar. Syukur. Redha. Terima seadanya. Persefahaman. Perlu lebih dari sebuah cinta.

Ruqayya Waris Maqsood dalam Muslim Marrige Guide ada menyebut:-

For it is love which makes a marriage - not a soppy, sentimental kind of romantic dream, but the sort of love which will roll up its sleeves and get stuck into the mess; the sort of love which will hang on to you when everyone else has turned against you and is speaking wrongly of you, while you have confidence that your partner (who knows you better than any person) will justify that confidence, and spring to your defense.

Sounds too good to be true? Those of you who have grown up in unhappy circumstances, in families shaken by frustrations and depressions, where the adults were bitter and cynical, and overauthoritarian, may well wonder if it is possible to have such a loving relationship with another human being.

By the grace of God, it is possible, and it is what Allah intended for you, by the practice of Islam which is submission to His compassionate will.

But a happy marriage is not simply `made in Heaven’. It does not just happen by accident.

You could go into a most beautiful garden and be amazed at the profusion and lushness of the flowers, the neatness of the borders and grasses, the absence of marauding insects and pests - and you would never for a moment think that this had come about by accident. You would know, straight away, that the garden had been created by a person or team of people who loved gardening, and no matter what the setbacks and problems were determined to produce a thing of great beauty and joy. A marriage is cultivated in exactly the same way.

Bak kata pepatah Inggeris

“It takes two to tango”

Atau pepatah lain

“Marriage failed when one’s stop trying”

Tidak kira apa punca dan sebab, jika salah satunya berhenti mencuba dan berusaha, maka rumahtangga akan berakhir sekalipun keduanya masih saling menyintai antara satu sama lain. Sekalipun salah seorangnya masih tetap mencuba.

Ketika itu saya merasakan sebagai permulaan untuk usaha memberi kebahagian yang berpanjangan saya memegang hadis tersebut sebagai papan tanda saya. Jika mungkin saya tersesat dalam kehendak dan runtunan emosi yang tiada punca saya berharap agar papan tanda itu memberi isyarat ingat pada saya. Saya cuba paling tidak menjauhi sikapkufr al-asheer. Cuba menerima seadanya.

Satu perkara yang perlu kita ingati, perkahwinan adalah suatu perkara dan bukannya segala-galanya.

Prinsip saya. “Marriage is something but it is not everything

Bila menerima seadanya, ada banyak perkara yang dapat kita lakukan, hargai dan fikirkan.

KUFR AL-ASHEER

Al-Asheer bermaksud dalam bahasa arab, ahli keluarga atau suami jika melihat konteks -siyaghul hadis- di atas.

Sebagai perempuan dengan kelemahan dan kekurangan yang ada, membuatkan fitrah dan sikap semulajadi wanita untuk sering rasa tidak bersyukur, mengeluh dan merasa tidak cukup dengan apa yang suaminya lakukan. Ini realiti. Sekalipun pada wanita yang mengaku beriman atau jahil. Mungkin pada saya, pada anda dan pada kita semua.

Cuba kita bayangkan, apakah yang telah suami kita lakukan untuk kita. Sekalipun penat pulang dari kerja, beliau melayan dan mendengar bicara dan cerita kita. Bila kita tidak mampu membuat kerja, beliau menggantikan kita dan melayan penuh sabar dan lemah lembutnya. Bila kesihatan kita diuji, mereka menguruskan kita dengan cinta dan kasih. Bila kita mengadu, mereka mendengar penuh tekun dan minat sekalipun mungkin keluhan kita tidak ada makna dan hanya cicipan biasa sahaja.

Begitulah suami. Tekanan kerja dan tanggungjawab dakwah yang pelbagai sepatutnya kita teladani dengan syukur dan qanaah. Apa lagi yang kita inginkan dalam hidup ini selain daripadanya?

Kufr pada kebaikan suami.

Dalam erti kata lain, tidak pernah puas. Tidak pernah rasa cukup. Tidak pernah rasa suaminya melakukan kebaikan. Seandainya berlaku konflik, kebaikan suami dilupakan atau seolah-olah tiada lansung dan kelemahan suami dibangkitkan. Jauhi mulut yang berbisa dan hati yang keras.

Dari Abdullah bin Umar katanya, Rasulullah bersabda yang bermaksud, “Wahai kaum wanita, bersedekahlah kamu dan banyakkan beristighfar iaitu memohon ampun. Kerana aku melihat kaum wanitalah yang lebih ramai menjadi penghuni neraka.” Seorang wanita yang cukup pintar antara mereka bertanya, “Wahai Rasulullah, mengapa kami kaum wanita yang lebih ramai menjadi penghuni neraka?” Rasulullah bersabda, “Kamu banyak mengutuk dan mengingkari suamiAku tidak melihat mereka yang kekurangan akal dan agama yang lebih menguasai pemilik akal, daripada golongan kamu.” Wanita itu bertanya lagi, “Wahai Rasulullah! Apakah maksud kekurangan akal dan agama itu?” Rasulullah bersabda, “Maksud kekurangan akal ialah penyaksian dua orang wanita sama dengan penyaksian seorang lelaki. Inilah yang dikatakan kekurangan akal. Begitu juga wanita tidak mendirikan sembahyang pada malam-malam yang dilaluinya kemudian berbuka pada bulan Ramadhan kerana haid. Maka inilah yang dikatakan kekurangan agama.”

Sekalipun konteks perbincangan mafhum Hadis di atas dalam aspek penyaksian dan ibadah dan dalam perbahasannya namun bukan di ruang ini saya ingin mengulasnya. Walaubagaimanapun tidak dapat dinafikan akan peringatan dari Rasulullah saw yang berbunyi yang boleh diambil peringatan untuk kita:-

Kamu banyak mengutuk dan mengingkari suami”

Jesteru, jadilah kita wanita yang bersyukur. Cukup dengan apa yang ada. Tidak meminta-minta. Tidak membebankan suami dengan perkara yang tidak perlu. Menghargai. Qanaah. Syukur. Pasti dicakupkan semuanya untuk kita.

Untuk suami saya ingin memetik kata-kata Ustaz Hasrizal:-

Teladannya, wahai suami, sentiasalah berlaku Ihsan, memberikan yang terbaik, dan terus bertanding dengan diri sendiri untuk mengatasi terbaik yang telah dilakukan sebelum ini. Namun bersabarlah andai isteri terlupa menghargainya. Jangan dibiarkan isteri berada dalam keburukan dengan membiarkan dirinya tenggelam dalam prasangka itu, kerana ia menjadi asbab seorang isteri terhumban ke neraka. Sebaliknya tenangkanlah dia, pegang tangannya, dan ajaklah dia kepada sifat syukur.

KESIMPULAN

Ya, untuk permulaan yang baik. Mulai dulu dengan diri kita. Andai diberi suami yang dapat memberi yang terbaik dalam memenuhi kehendak dan harapan kita maka kita bersyukur. Jika diberi suami yang mungkin tidak peka pada kehendak dan tuntutan perasaan isteri, maka berbicaralah dan berkomunikasilah dengan kalam yang baik dan bersyukurlah. Kiasan yang tidak menuduh atau mengkritik terus pasti dapat membantu. Jika itupun masih belum bekesan, usaha terus dalam syukur yang tak pernah mati. Usaha dan syukur. Jangan pernah berhenti. Dan jangan pernah mengkufuri kebaikan suami. Sekalipun sangat sedikit. Kerana mereka yang berada dikalangan yang bersyukur sangat sedikit.

Pada waktu Amirul Mukminin, Umar bin al Khottab bertawaf, beliau selalu mendengar do’a dari seorang pemuda yang isinya agak aneh. Pemuda tersebut selalu mengulang-ulang do’anya “Allahummaj’alni minal qolil (Ya Allah, jadikanlah aku termasuk dari kalangan yang sedikit)”. Selesai bertawaf, Umar bin Khattab bertanya padanya,”Wahai pemuda, kenapa anda berdo’a seperti itu?”. Pemuda menjawab,”Tidakkah Amirul Mukminin mendengar firman Allah ‘Wa Qolilummin ‘ibadiyasy-syakur’(Dan sedikit dari kalangan hamba-hambaku yang bersyukur) (As.Saba 13), Ya Amirul Mukminin, sungguh saya sangat berharap menjadi yang sedikit tersebut. Karena yang mau bersyukur pada Allah dan yang berkeinginan untuk selalu berbuat baik sangat sedikit.” Demikian kata pemuda tersebut.

Memetik lagi penutup Ustaz Hasrizal dalam artikel yang sama.

Terimalah rumahtangga sebagai sebuah medan perjuangan. Penyertaan kita ke dalamnya dengan segala kelengkapan, bukanlah jaminan kepada kemenangan. Kita tidak tahu apakah bentuk musuh yang bakal menyerang, tidak pasti bagaimanakah peritnya pertempuran yang bakal melanda. Namun sekurang-kurangnya dengan persediaan yang baik di sebuah permulaan, doa kita kepada-Nya tidak palsu kerana ia dilafaz selepas USAHA.

Sesungguhnya permulaan yang baik, bukanlah suatu jaminan. Ia hanya sebuah permulaan…

Satu permulaan kepada halatuju yang utama. Memetik petikan buku Ruqayya Waris Maqsood yang memebawa maksud yang sama:-

But marriage is also a most demanding training ground of faith. By claiming it to be `half the religion’ the Blessed Prophet was not making an idle statement. When a human couple strive hard to get their marriage and family right in the eyes of God, they are indeed well on the road to Paradise.

Ya, ia medan berjuang. Medan menguji iman. Medan bahagia dan mungkin derita. Iman, usaha, syukur dan penyerahan pada Allah kayu ukurnya. Sifirnya mudah, namun payah untuk melaksankannya. Pada suami ada tanggungjawab. Ada bebanan. Jika mereka cuai, mereka akan dihisab. Pada isteri, ada tuntutan syukur dan sabar. Ada tuntutan sifat qanaah. Kedua saling membutuhkan dan melengkapi. Saling menyempurnakan. Suami seorang manusia. Punya kekurangan. Kita apatah lagi. Kelemahan yang tidak terkira banyaknya.

“Barang siapa yang bersyukur (kepada Allah), maka sesungguhnya ia bersyukur untuk dirinya sendiri, dan barang siapa yang tidak bersyukur maka sesungguhnya Allah Maha Kaya Lagi Maha Terpuji.’’ (Lukman :12)

p/s: Buat suamiku, di atas kebaikanmu yang melimpah ruah, penghargaan yang tidak putus-putus dan kata-kata yang hanya baik untukku sahaja yang kau beri, aku berterima kasih. Sekalipun aku tersalah, engkau menerimanya dengan kata-kata yang baik. Sekalipun silap, engkau memandangku dengan kasih. Tidak pernah sekalipun engkau mengeluh. Yang ada hanya pujian, ransangan dan kalam yang baik. Untuk seorang lelaki yang terbaik yang pernah kutemui, terima kasih.

————————
Nota Kaki

Ini tulisan ringkas. Sekadar berbasa basi. Jika ada kebaikan, maka ia milik Allah. Jika ada kekurangan, kelemahan saya sendiri. Malah, saya masih bertatih, masih hijau malah baru menjadi seorang isteri. Mungkin akan terjatuh dan terngadah juga kelak. Semoga Allah memelihara daripada semua itu. Buat suami juga, jangan lupa menghargai dan mensyukuri kebaikan isteri sekalipun dengan sentuhan dan kata-kata yang baik. Pasti bahagia tidak kunjung sudah:)

Sunday, March 6, 2011

Facebook syurgaku

Facebook,

Ku suka like sana dan sini,

Ku suka tag begitu dan begini,

Ku suka komen macam tu dan macam ni,

Semua tempat ku suka komen,

Memang daku pakar komen.



Facebook

Aku suka komen lelaki dan perempuan,

Walaupun bukan mahram aku buat tak heran,

Diriku peramah di mata rakan,

Semua perlu ku sembang sakan,

Whats up, dah makan?

Cuti ini tak pergi jalan-jalan?

Ikhtilat atau bukan, itu bukan persoalan.



Facebook,

Aku suka bubuh gambar terbaru dan bergaya,

Gambar ku semuanya kacak belaka,

Lenggok badan mesti kongsi dengan semua,

Lesung pipitku mencairkan manusia,

Senyum manisku menawan hatinya.

Gambarku, gambarmu juga.



Facebook,

Aku suka bermain status,

Semua kata-kata ku pasti bagus,

Selepas satu status, datang status seterusnya,

Mari semua pakat like aku punya,

Ini dakwah, ini tazkirah, tak faham sila tanya.

Pendapat aku betul semuanya,

Pendapat lain standard kedua.



Aduhai dinda Facebook,

Kaulah kekasih awal dan akhir.

Bangun pagi terus ku sembahmu,

Sebelum tidur kutatap wajahmu,

Wahai Facebook, berikan aku kesejahteraan,

Wahai Facebook, berikan aku kekuatan iman,

Wahai Facebook, berilah aku cukup makan,

Wahai Facebook, berikan hambamu ini cukup pakaian.



Terima kasih Facebook atas segala nikmat dan ketenangan,

Engkaulah syurga, engkaulah tuhan,

Kurnia syafaatmu menjadi harapan




p/s. I'm not sure who wrote this. May Allah reward you.

Thursday, December 16, 2010

To the future muslim doctors....and their parents

Khusus buat:

  • Anak-anak yang bergelar pelajar perubatan ( di mana jua anda berada)
  • Ibu dan ayah kepada anak-anak di atas
Sedikit pesanan ini dinukilkan oleh seorang yang pernah menjadi pelajar perubatan ( 1986-1991), sudah bergelar doktor selama lebih 19 tahun, menjadi pakar O&G dan pendidik kepada ribuan pelajar perubatan selama 13 tahun. Namun belum berpeluang menjadi ibu kepada seorang pelajar perubatan lagi setakat ini.

Anak-anakku,

Kalian sebenarnya bertuah dipilih Allah SWT mempelajari satu bidang yang amat besar faedah dan manfaatnya buat manusia dan dunia. Apapun yang mendorong kalian membuat keputusan menjadikan bidang ini pilihan, kalian sudah sampai di sini! Betapa ramai rakan kalian yang mengidamkan kerusi yang kalian duduki sekarang ini.

Harapnya, dorongan itu bukanlah semata-mata mahu mencuba nasib, memenuhi hajat dan hasrat kedua ibu bapa dan keluarga yang mahu seorang bergelar `Doktor’ dalam salasilah keturunan, ataupun ingin sentiasa bersama dgn rakan karib lain yang kebetulan juga mendapat tawaran yang sama!

Melihat betapa berlumba-lumba kalian merebut tempat di sekolah perubatan, rasanya seperti ada kempen ` Satu Keluarga Seorang Doktor’ lagaknya.

Jangan kalian terkejut nanti – dengan realiti pengorbanan yang mesti kalian lalui. Perubatan adalah satu lapangan yang perlukan komitmen pembelajaran sepanjang hayat. Kalian sendiri yang perlu mencetus keghairahan mahu menuntut ilmu, bukannya hanya berharap dan bergantung sepenuhnya kepada tenaga pendidik yang menunjuk ajar. Kalian akan mulai mendengar perkataan ` self-directed learning- SDL’, student-centred education, life-long learning, community-based learning, inter-professional learning dll.

Pengajar kalian bukan hanya professor dan pensyarah perubatan, malahan yang bergelar pesakit itulah yang paling banyak mengajar dan memberi tunjuk ajar. Para jururawat adalah mentor yang paling berpengalaman dan perlu diberi penghormatan.

Yang paling utama, akhlak kalian – menjadi pembeza utama antara pengamal perubatan yang mulia dan doktor yang angkuh. Bertuahlah bagi kalian yang sememangnya sudah berbekal dgn didikan sempurna, penuh budi bahasa, tata tertib dan sopan santun yang tinggi semenjak dari rumah lagi. Malanglah kalian yang serba kekurangan dalam aspek ini, sekalipun kalian begitu cerdas mengumpul deretan `A+’ dalam transkrip keputusan peperiksaan saban semester.

Untuk para ibu dan ayah kepada anak-anak yang bergelar pelajar perubatan,

Mohon dipastikan kalian sudah menyediakan anak-anak kalian dengan baik dan sempurna – terutamanya dalam aspek rohaniah dan akhlaqiah mereka. Mereka akan menjadi doktor perubatan – bukan calang-calang profesyen! Pastikan mereka menjadi pengamal perubatan yang tawadhuk dan sentiasa berhubung erat dengn Rabb.. Selitkan doa yang tidak pernah kunjung padam setiap masa dan ketika, moga Allah SWT memberi bimbinganNya buat anak-anak ini.

Sekiranya kalianlah menjadi SEBAB utama anak-anak berada di sekolah perubatan hari ini, sedangkan itu bukan keinginan dan minat mereka sendiri, bersedialah untuk meminta maaf kepada mereka – terutamanya jika mereka akan berhadapan dgn kesukaran dan keperitan memenuhi hajat dan cita-cita kalian itu. Sokong dan dokonglah mereka sehingga ke akhir nanti – kerana cubaan dan dugaan yang perlu anak-anak ini hadapi bukanlah setakat semasa dalam latihan sahaja, malahan yang lebih mencabar adalah ketika terpikul di bahu mereka tanggungjawab dan amanah yang berat apabila bergelar doktor nanti!

InsyaAllah, kalian akan sentiasa dilindungi Allah SWT dari segala bencana selagi mana penggantungan hanyalah kepada Allah semata-mata.


From
Dr Harlina Halizah Siraj

Wednesday, November 24, 2010

SELAMATKAN DIA DARI NERAKA!


“Jika bersedekah, niatkan atas nama dan bagi pihak isterimu. Bantulah mereka dengan pahala sedekah kerana ramai para isteri yang akan menjadi penghuni neraka!”

Masih terngiang-ngiang kata-kata seorang ustaz sewaktu memberi kuliah di sebuah masjid di Putrajaya baru-baru ini. Selepas itu beliau terus membacakan hadis yang menjadi sandaran hujahnya itu dengan begitu lancar dan fasih.

Pada hari esoknya, saya menyemak hadis itu dengan bantuan seseorang yang sangat saya hormati kepakarannya. Beliau dengan segera memberikan nombor rujukan hadis itu dan sumbernya. Diriwayatkan daripada Abu Sa‘id al-Khudri r.a. katanya: “Suatu ketika Rasulullah s.a.w. keluar pada Hari Raya Aidiladha atau Aidilfitri menuju ke tempat solat dan melalui sekumpulan wanita. Beliau bersabda: ‘Wahai kaum wanita bersedekahlah. Sesungguhnya aku telah diperlihatkan bahawa kalian adalah majoriti penghuni neraka.’

“Salah seorang wanita yang fasih dan bijak bertanya: ‘Mengapa wahai Rasulullah?’ Beliau menjawab: ‘Kalian banyak melaknat dan durhaka terhadap suami. Dan tidaklah aku menyaksikan orang yang memiliki ke¬kurangan akal dan agama yang dapat menghilangkan akal kaum lelaki yang setia daripada salah seorang antara kalian.’ “Mereka bertanya lagi: ‘Apa yang dimaksudkan dengan kekurangan agama dan akal kami wahai Rasulullah?’

“Baginda menjawab: ‘Bukankah kesaksian seorang wanita sama dengan separuh daripada kesaksian seorang lelaki?’ Mereka menjawab: ‘Benar.’ Baginda berkata lagi: ‘Bukankah apabila wanita mengalami haid maka dia tidak melakukan solat dan puasa?’ Mereka menjawab: ‘Benar.’ Baginda berkata: ‘Itulah (bukti) kekurangan agama¬nya.’” (Riwayat al-Bukhari no. 298)

Oleh sebab itu, setiap suami yang mencintai isterinya pasti berasa bimbang dengan amaran dan peringatan daripada hadis ini. Betapa tidak, tegakah kita melihat isteri yang tersayang terhumban ke dalam neraka hanya kerana lidahnya yang memaki hamun dan hatinya yang tidak bersyukur? Cakap suami dilawannya, dibentak dengan suara yang tinggi. Mulutnya begitu berbisa, tajam dan menyakitkan.

Isteri yang sedemikian perlukan bantuan. Dia sedang “sakit”. Tetapi bukan mudah membantu orang sakit yang sentiasa berasa dirinya benar dan sihat. Silap pendekatan, dia jadi semakin menyinga. Isteri begini terlupa bahawa selagi suami tidak menyuruh kepada yang haram dia wajib taat. Dia terlupa membesarkan pemberian suami yang kecil. Dia sudah tidak ingatkan lagi bahawa jalannya menuju ke syurga adalah melalui pintu gerbang ketaatannya kepada suami. Malu, taat, setia dan khidmatnya hanya untuk manusia bernama suami.

Kepenatan menguruskan rumah tangga bukan alasan untuk meninggalkan perkara-perkara asas yang menjadi teras kerukunan rumah tangga. Begitu juga jika dilihatnya ada kelemahan dan kekurangan pada diri suami… Itu tidak boleh dijadikan sebab untuk melawan dan memberontak. Selagi tidak menyalahi aqidah dan syariat, maka selagi itulah isteri wajib patuh.

Belajarlah daripada Asiyah isteri kepada Firaun laknatullah. Walaupun suaminya sejahat-jahat manusia tetapi dia masih mampu menjadi isteri yang solehah hasil ketaatan dan kebaikan yang dicurahkan kepada suaminya. Kecuali menyembah tuhan selain Allah, itu sahaja yang tidak dituruti oleh Asiyah. Segala suruhan Firaun yang selain itu dilaksanakannya dengan sepenuh hati. Ertinya, beliau terus melaksanakan perintah yang baik walaupun datangnya daripada seorang yang jahat.

Para isteri harus sedar bahawa mereka tidaklah sebaik Asiyah dan suami mereka tidaklah sejahat Firaun. Hanya kadangkala suami terlupa, sedikit berang kerana keletihan, menjadi penyengap kerana ada sesuatu yang dirisaukan, tidak senyum kerana masalah di luar rumah, maka si isteri jadi pemarah, pendendam dan peleter yang tidak mengenal maaf.

Lunak Berbahasa Ingatlah bahasa yang baik datang dari orang yang baik. Tetapi jika bahasa kasar, kesat dan kotor itu petanda jiwa yang kotor. Bahasa dan kata sangat besar kesannya dalam hidup berumah tangga. Diceritakan dalam kitab-kitab tradisional bahawa bahasa si isteri apabila berkomunikasi dengan suaminya hendaklah menggunakan bahasa yang baik. Masih ingat apa pesanan Allah kepada Nabi Musa a.s. ketika baginda diperintahkan bertemu dengan firaun? Firman Allah yang bermaksud: “Dan berkata-katalah kepadanya (firaun) dengan lembut dan baik. Semoga dia mendapat peringatan.” (Surah Taha 20: 44)

Hanya dengan bahasa yang lembut, intonasi yang lunak dan adab yang sopan, hati suami akan “cair” dan kasih. Sebaliknya, kata-kata yang kasar dan intonasi yang tinggi akan ditolak secara terang-terangan atau secara diam-diam walaupun isi¬nya kebenaran dan kebaikan.

Allah mengingatkan kita melalui firman-Nya yang bermaksud: “Jika kamu kasar dan keras nescaya orang akan lari dari kamu.” (Surah Ali ‘Imran 3: 159)

Menurut kajian, sikap cerewet adalah salah satu punca yang menyebabkan rumah tangga tidak bahagia. Isteri yang cerewet hanya nampak yang cacat, busuk, kurang, pahit dan yang hal-hal yang negatif sahaja. Sedikit tersilap, boleh menjadi punca kemarahan yang berjela-jela dan sukar direda¬kan. Ada sahaja yang tidak kena kerana dia memang mencari yang “tidak kena”. Dia sering berjaya mencari “nila yang setitik” untuk merosakkan susu yang sebelanga.

Tindakan suka melaknat dan tidak membesarkan pemberian suami ialah penyebab utama kebinasaan kaum wanita. Namun itu bukan bererti suami harus berlepas tangan dan berasa selamat dengan autoriti serta haknya sebagai suami. Si suami harus ingat jika isteri berterusan dalam keadaan begitu dia juga tidak selamat. Mengapa? Dia wajib mendidik dan menyelamatkannya. Isteri yang baik akan lebih mudah masuk ke dalam syurga sekalipun suaminya jahat, tetapi suami yang baik sangat sukar masuk ke syurga jika isterinya jahat.

Selamatkan Isterimu Di bahu para suamilah letaknya tanggungjawab menyelamatkan isteri yang suka melaknat dan tidak bersyukur itu. Se¬lain istiqamah mendidik dan memberi peringatan, si suami harus tidak jemu-jemu mendoakan isteri yang sebegitu. Dan yang paling penting bantulah mereka agar sering bersedekah dan bersedekahlah bagi pihak mereka. Jangan hanya mengeluh dan me¬mendam rasa tetapi berusahalah memperbaiki keadaan dengan tindakan-tindakan yang lebih konstruktif dan produktif.

Bagi suami yang pemberang pula ingat, jangan lawan api dengan api… nanti rumah tangga terbakar dan cinta akan terpadam. Tidak semua leteran kerana kebencian, tetapi kekadang lebih kepada luahan. Justeru bersabarlah pada sesetengah leteran yang hakikatnya hanya satu rintihan dan pengaduan.

Contohi Sayidina Umar al-Khattab yang rela “menelinga” dan berdiam diri dengan leteran isterinya lantaran menghargai ke¬susahan isterinya yang keletihan menguruskan rumah tangga dan menjaga anak-anak. Padahal Umar di luar rumah bukan sahaja digeruni oleh musuh-musuh¬nya, bahkan syaitan sekalipun tidak akan lalu di tem¬pat dia lalu! Sebagai suami, Umar sedar bahawa bukan semua leteran itu satu kebejatan tetapi banyak antaranya hanya satu luahan cinta daripada kekasih yang keletihan!

Jadi didiklah para isteri agar selalu dan sering bersedekah. Bersedekah itu bukan sahaja dengan harta tetapi dengan tenaga, meluangkan masa dan tenaga ataupun sekadar memberi senyuman. Itu ialah saranan daripada Rasulullah s.a.w. sendiri untuk tidak tergolong dalam gerombolan majoriti wanita yang akan dihumban ke neraka. Carilah ruang dan peluang untuk memberi sedekah kepada anak-anak, suami, jiran tetangga, kaum kerabat, mentua, saudara dan lain-lain anggota masyarakat.

Dalam sejarah hidup wanita-wanita solehah kita akan lihat bagaimana mereka sangat melazimi cara hidup yang mudah bersedekah ini. Siti Khadijah, Siti Aisyah, Siti Zainab dan lain-lain Umahat al-Mukminin ialah wanita yang terkenal banyak bersedekah. Ini adalah satu lagi isyarat untuk wanita-wanita selepas generasi mereka dan khususnya generasi kini agar bersedekah untuk menyelamatkan ketelanjuran lidah yang berbisa dan hati yang tidak membesarkan jasa.

Bersedekahlah kerana cinta. Si isteri bersedekah kerana cintanya kepada diri sendiri yang sentiasa terdedah kepada kejahatan lidah dan hati. Si suami bersedekah kerana cintakan isteri agar terselamat daripada neraka. Insya-Allah, Allah akan “menyedekahkan” mereka berdua dengan cinta-Nya. Dan dengan sedekah cinta itu mereka akan bercinta hingga ke syurga!


Full entry

Saturday, October 23, 2010

dia terpandangkan aurat seorang wanita....



“Jika hambaKu ini datang menemuiKu dengan dosa sepenuh bumi, maka aku akan datang menemuinya dengan keampunan sepenuh bumi pula”

Bukan sengaja saya quote firman ini. Inilah sebuah catatan peristiwa yang ingin saya bawakan sepanjang 3 minggu saya membiarkan laman blog saya tidak terisi. Walaupun peperiksaan duniawi menuntut komitmen saya, tetapi suatu ujian telah datang meraih perhatian saya untuk mereguk hikmah yang sengaja Allah aturkan.

Ketika inilah saya dipertemukan dengan mereka yang telah jatuh tersungkur dihempap dosa besar, kemudian dengan sisa iman yang masih kasihkan Tuhan, merangkak bangkit menuju illahi. Biar seribu payah bertarung nafsu, biar luluh sumsum mendepani pamitan dunia, mereka dengan jerih menghulur tangan agar disambut cinta Sang Kekasih.

“ ukhti, Allah benar-benar sedang mengujimu. Allah sedang mula mencintaimu, Dia sedang mengambilmu kembali dari rangkul seorang manusia. Sekarang matanya sedang akrab melihat hatimu, adakah kau akan menolak cintaNya hanya kerana mahu mengejar cinta manusia yang kadang mengecewakan. Ukhti, kau harus buktikan pada Tuhan, yang kau sambut cintaNya dengan penuh rindu& syukur. Letakkan tanganmu di dadamu, kemudian bawalah ia ke uratlehermu.Sungguh, Dia telah hampir dalam jiwamu, bahkan lebih dekat dari urat lehermu.”

Mesej sent.

Seusai solat saya melirik mesej yang belum dibaca. Hati saya lalu dihambat debar yang menggila. Melihat namanya sahaja telah mengundang kegundahan yang makin merasuk jiwa. Apa khabar imannya? Apa khabar akhlaknya? Uhh, apa khabar aqidahnya? Hati saya makin runtuh membaca mesejnya. Rintih-rintih suaranya seakan menggamit-gamit telinga. Katanya dirinya amat lemah, dia tidak kuat untuk bertaubat. Bahkan hatinya seakan memanggil-memanggil menyerah pada dosa lalu. Kakinya seakan mahu menapak menurut nafsu agar hati puas menyantap dosa.

Apa yang harus saya lakukan? Andailah waktu itu saya di sisinya, sesaat pun tidak akan saya biarkan dirinya keseorangan. Akan saya hiburkan dengan janji Tuhan yang sentiasa menjanjikan keampunan bagi mereka yang inginkan cintaNya. Akan saya hembuskan kekuatan agar dia bisa teguh mengharungi jerat-jerat iblis agar tidak tewas. Ya Allah, aku sangat mencintainya, payungila dirinya dengan teduh kasihMu. Kerana itu, saya mengirim mesej ini. Ukhti, moga dirimu tahu, Tuhan lebih-lebih lagi menanti cintamu yang telah lama kau khianati untuk seorang Adam.

Oleh itu,

Duhai jiwa-jiwa yang bersih yang telah Allah anugerahkan taubat untuk kalian…kutitipkan kisah ini sebagai sumbu untuk kalian nyalakan sinar seorang muslim yang muttaqin lantas diangkat darjat yang paling tinggi sebagai seorang muhsin di sisi Allah.

Sahabat, kau pernah mendengar kisah seorang hamba Allah bernama Tsa’labah? Subhanallah, kisahnya telah kutemui dalam sebuah buku kecil ‘ kisah orang-orang yang bertaubat’ yang kubawa kemana-mana. pertemuan demi pertemuan dengan mereka yang pernah berbuat dosa besar telah menuntunku untuk lebih menyelami jiwa-jiwa mereka yang mahu bertaubat. Buku ini terlalu banyak mengilhamkanku untukku lebih memahamimu.

Tsa’labah itu adalah seorang pelayan Rasulullah. Suatu hari sahabat, Rasulullah telah menghantarnya ke suatu tempat untuk menyempurnakan sebuah tugasan. Ketika dalam perjalanannya dia telah melintasi sebuah rumah lelaki Ansar. Pada ketika itu, dia terpandangkan aurat seorang wanita Ansar yang berada di dalam rumah tersebut. Maka seketika, rasa takut dan gerun mula menyerbu hatinya. Tsa’labah khuatir jangan-jangan Allah menurunkan wahyu kepada NabiNya atas sesuatu yang dia tidak sengajakan. Justeru, sambil memegang wajahnya, Tsa’labah berlari menuju ke sebuah gua antara Mekah dan Madinah dan masuk ke perut gunung tersebut.

Rasulullah tiba-tiba kehilangan Tsa’labah selama 40 hari. Setelah itu, Jibril telah datang menemui Rasulullah dan memberitahunya bahwa Allah berkirim salam kepadanya dan mengkhabarkan bahawa salah seorang pemuda dari umatmu sedang berada di sebuah perut gunung, memohon keampunanKu. Tanpa menunggu lagi, Rasulullah telah menghantar Umar dan Sulaiman ke gunung tersebut dan membawa Tsa’labah kembali kepada Rasulullah.

Kedua-duanya pergi mencarinya dan terjumpa seorang pengembala bernama Dzuhafah. Lalu ia bertanya,:

“ Adakah kamu melihat seorang pemuda yang bernama Tsa’labah di sekitar gunung ini?

“ Mungkin kamu sedang mencari seseorang yang lari dari azab neraka?

“ Bagaimana kamu mengetahui tentang itu?”

“Kerana jika malam tiba, ia akan keluar dari tempat persembunyiannya sambil meletakkan tangan di kepalanya dan berseru:

“Wahai Tuhan, mengapa tidak Engkau cabut sahaja rohku, dan cabut sahaja jasadku dari kumpulan roh dan jasadku. Mengapa Engkau biarkan aku sendiri?"

Lalu pada malam itu mereka pergi menanti di pintu gua tempat Tsa’labah berdiam. Apabila tibanya malam mereka melihat sepertimana yang diceritakan Dzuhafah. Umar segera mendatangi dan memeluknya. Seiring itu, Tsa’labah dengan sendu bertanya:

“ Apakah Rasulullah telah mengetahui dosaku?”

“ Aku tidak tahu. Tetapi semalam Rasulullah menyebut-nyebut namamu dan meminta kami mencarimu.”

“ Hai Umar, janganlah kamu membawaku menemui Rasulullah kecuali dia sedang solat. Pinta Tsa’labah sesunguh-sungguhnya.

Mereka sampai ke masjid ketika subuh berkumandang. Umar dan Sulaiman terus memasuki saf solat sementara Tsa’labah tiba-tiba pengsan apabila mendengarkan ayat-ayat yang dibacakan Rasulullah. Setelah Rasulullah memberi salam, baginda terus menggerakkan Tsa’labah dan dia tersedar.

“ Mengapa kamu menghilang wahai Tsa’labah?”Tanya Rasulullah dengan penuh kasih.

“Kerana dosaku ya Rasulullah.

“ Mahukah kamu jika aku tunjukkan satu ayat yang apabila kamu baca akan menghapuskan seluruh dosamu?”

“bacalah!”

“Ya Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami dari seksa api neraka.!”

“Dosaku lebih besar ya Rasulullah.” Lirih suara Tsa’labah apabila mendengar ayat yang dibacakan Rasulullah.

“Tidak Tsa’labah. Kalam Allah lebih besar”.

Kemudian Rasulullah memerintahkannya untuk pulang ke rumah dan diberitakan bahawa Tsa’labah telah menderita sakit selama 8hari. Dia hampir saja mati atas dosa yang dilakukan. Dengan segala sifat kasih-sayang beginda, Rasulullah pergi menziarahinya dan baginda mengangkat kepala Tsa’labah dan meletakkan di pangkuannya. Setelah itu, Tsa'labah menarik kembali kepalanya dari pangkuan Rasulullah.

“Mengapa kamu menarik kepalamu dari pangkuanku hai Tsa’labah?” Tanya Rasulullah bingung.

“Wahai hati dan diri yang bersih, kepalaku penuh dosa-dosa”

“ Tsa’labah, apa yang kamu keluhkan?” Soal Rasulullah melihat tindakannya begitu.

“ Seakan seekor semut berjalan di antara tulang, daging dan kulitku.”

“ Apa yang kamu ingin minta wahai Tsa’labah?”

“keampunan dari Tuhanku” Suaranya telah hampir tidak kedengaran.

Maka setelah itu, Jibril pun turun dan mengatakan :

“Ya, Muhammad, Tuhanmu berkirim salam untukmu, dan ia berfirman : Jika hambaKu datang menemuiKu dengan dosa sepenuh bumi, maka katakanlah, Aku akan datang menemuinya dengan keampunan sepenuh bumi pula”

Maka setelah dibacakan kepada Tsa’labah, dia terus berteriak kuat dan meninggal ketika itu juga.

Setelah kejadian itu, Rasulullah memerintahkan untuk memandikannya dan mengkafankannya. Setelah baginda selesai mensolatkannya, Rasulullah pergi berjalan dengan berjinjit di atas jari-jari kakinya menghantarkan jenazah Tsa’labah ke perkuburan. Setelah Rasulullah mahu pulang, orang-orang bertanyakan akan perbuatannya berjalan berjinjit.

Maka sabda Rasulullah :

“Demi Dzat yang mengutusku sebagai Nabi! Aku tidak mampu berjalan di bumi secara sempurna kerana banyaknya malaikat yang datang untuk mengiringi jenazah Tsa’labah.”

Lihatlah sahabat! Inilah sebuah kisah seorang yang begitu menyesali dosa yang dilakukannya dan telah Allah muliakan jasadnya dengan mengirim selautan malaikat untuk mengiringi jenazahnya. Lihatlah juga bagaimana kasihnya Allah kepada hambaNya dengan membersihkan seluruh jasad dan hati seorang hamba yang berdosa dengan siraman keampunanNya. Kalian tidak terkecuali untuk menjadi sesuci Tsa’labah. Hanyalah kalian perlu bertaubat! Dia tidak minta lebih daripada itu. Selangkah kalian mendekatiNya, seribu langkah Allah berjalan mendekatimu! Itulah tanda cinta Allah kepadamu.

Saturday, September 18, 2010

Bukan buah atau bunga


Dalam tadarrus nurani
Kukirim tinta cinta ke langit tujuh
Merisik naskhah rahsia
Menjilid kitab percintaan

Tuhan,
Dalam sujud tertunduk
Labuhkan rindu dendamku
Pada dermaga perkasihan
Yang tercipta untuk seorang Adam
Untukku temu dalam rentang
sejadah pernikahan.

Saya kesat hangat air yang mengalir di pipi. Selendang sutera bertenun emas saya labuhkan ke bahu. Cincin emas berhias kemilau permata tiga menggamit mata. Lama saya tenung jari manis tirus yang akhir dipaut satu ikatan yang separuh mengikat diri saya dengan seorang adam. Benar, dia adam yang membayangi dalam mimpi, memanggil dalam samar dalam bersih jubah putih suci lantas membisik-bisik dengan parau suara yang menggetar nurani.

“ aku adalah akidahmu, sebutlah nama TuhanMu bahawa kau akan kusantuni”.

Lalu dia menghilang dalam renung bening mata yang berbekas dalam ingatan.

Saya tersedar, istighfar dan syukur basah di bibir. Gelora cinta mula membuak, dihambat rindu yang mengasak dada. Mengapa sekarang sungguh kurasa bagai musafir haus dalam tandus padang pasir mengharap setitis air. Begitulah rasa seorang pencinta yang dahagakan redup pandang kekasihnya.Sungguh pertemuan yang singkat tadi telah Allah campakkan sejuta kecintaan yang benar-benar hidup!

“ enti, diri enti baru separuh milik ana, tapi ini bukan bermakna Allah izinkan kita bercinta. Ana harap enti faham, ana serahkan enti dalam jagaanNya, belum halal kita untuk berhubung walau ana jujur, hakikat hati bahawa tiadalah sabar untuk bersama enti.”

Dia berjeda. Matanya kerap dilarikan ke kiri ke kanan apabila menatap wajah saya buat pertama kali. Saya relakan niqab dibuka moga tuntutan hadith nabi bisa dipenuhi. Mohon saya, agar wajah ini bakal dia senangi untuk saya hiasi hari-hari hidupnya yang mendatang. Debar saya beralun dalam debarnya dan saya menghambatnya dengan zikir di hati.

“andai rindu dan cinta meruntun hati, lekas-lekaslah enti berwudhu’, bukalah mashaf dan bacalah dengan sekhusyuknya. Kerana itu bukanlah kerinduan yang halal untuk kita, bahkan syaitan yang cuba memesong hati agar ikatan kita mendasari nafsu yang merosakkan”

“ ana faham, insyaAllah.” Sekadar itu. Hanya sekadar itu saya membalas. Kelu berkata tanda ada hati yang sedang berbicara. Namun ia tidak terlafaz pada bibir yang tekekang untuk bersuara. Duhai adam, andai kau tahu segunung syukur kupanjatkan atas lamaranmu, betapa hadirmu bagai bulan yang menyimbah gelap bumi di malam hari.

Dan nikmat tuhan yang mana yang kamu dustakan!

Saya berlalu ke bilik air untuk berwudhu’. Sesekali dingin air yang mengalir menyumsum ke dalam tulang mengaliri hati setenang aliran Nil mengutus Musa ke mahligai Firaun, lantas bayi mungil itu mengukir sejarah agung menundukkan seorang Thaghut yang menyesatkan. Tuhan, andai saya adalah ibu Musa, maka nikmat Tuhan mana yang saya harus dustakan!

2 rakaat saya tunaikan solat syukur. Ya Illahi, akanku penuhi tempoh pertunangan ini sebagai persediaan terakhir untuk membina sebuah baitul muslim bersama seorang lelaki yang akanku persembahkan segala ketaatan, agar kecintaan yang berbuah-buah ranum dalam cinta buat suami yang bakal kami lahirkan zuriat yang menjadi kader-kaderMu kelak.

Sungguh Illahi, impianku agar aku bisa menghadiahkan kepadaMu seorang lagi Salehuddin Al-Ayubi, seorang lagi Al-Farouq yang memimpin dunia, seorang lagi Al-Siddiq yang hatinya lembut mengasihi seluruh insan, seorang Muaz bin Jabal yang menjadi kerinduan kekasihMu, Muhammad. Maka kurniakanlah aku suami seperti Zubair bin Awwam sebagaimana Umar mengagumi anaknya kerana didikannya. Ya Illahi, kau peliharalah diri dan hati aku dan dia dari pesongan nafsu yang mengundang laknatMu hingga akhirnya kau tarik kembali semanis-manis nikmat ini.

Mata saya semakin sarat dengan air mata. Gentarnya andai nikmat ini adalah ujian untuk saya memiliki cintaNya.

Saya bangun dan duduk di birai katil, lalu mencapai diari . Bagaimana akhirnya saya menerima dirinya, membuat keputusan setelah hampir setahun dilamar. Saya akur, memilih suami bukanlah seperti memilih bunga atau buah. Cukup hanya terpikat dengan tarikan warna luaran lantas kita terus memetiknya.

Sedangkan memilih suami ibarat memilih aqidah, yang nanti bakal menentukan bagaimana akhirnya hayat saya. Sungguh saya tidak mahu menyesal memperhambakan diri pada seorang lelaki yang akan saya persembahkan segala milik diri. Hanya satu yang amat saya harapkan agar lelaki ini bakal memandu langkah saya menjadi tetamu Allah di syurgaNya.Dan Akhirnya kami kembali menyemarakkan segala cinta dan kasih dalam anggun taman syurga.

Saya membuka sehelai demi sehelai tulisan diari. Saya terhenti pada satu halaman yang dakwatnya sudah mengembang. Kesan basah air mata yang entah bila saya tumpahkan.

‘ Tuhan, andai benar satu hari akan kau serahkan diriku buat seorang Adam, biarlah dia seorang yang punya fikrah yang kuat berdakwah, yang tidak redha dengan kemaksiatan, yang lincah mentarbiyyah umat, yang tidak langsung berlengah untuk menyerah harta dan jiwanya pada jalanMu, yang tenaganya tidak sedikit pun berbaki untuk dia mengejar dunia, yang hatinya tertaut pada masjid, yang malamnya hidup untukMu dalam tahajud yang menyuci jiwa, yang apabila aku memandang wajahnya, bertambah-tambah pujianku buatMu, yang apabila melihat akhlaknya, melimpah-limpah kerinduanku pada KekasihMu, dan tidurnya dalam dakap kitab suciMu kerana letih mentadabbur Al-Zikr, yang bibirnya tidak sunyi dari lantunan zikir dan hafazan surah-surah penghibur hati, yang apabila katanya penuh nasihat dan guraunya adalah sedikit kerana gentar akan kematian yang bila-bila masa sahaja menjemput.’

-PD-
inilah isi diari saya lewat 2 tahun yang lalu!

Bukanku mengharap kepada kesempurnaan, tetapi kerana pernikahan adalah saparuh kepada penyempurnaan agama, maka izinkan aku sempurnakan pernikahan ini dengan lelaki persis dengan akhlak KekasihMU..


“ sesungguhnya orang itu tergantung kepada agama temannya. Dan seseorang itu tidak dikenali kecuali dengan melihat temannya.” Ihya’ Ulummudin, Imam Ghazali.

Setelah setahun saya merisik dengan melihat agama rafiknya, menelusuri fikrahnya yang penuh dengan agenda dakwah, yang saya yakini kematangannya dalam agama dapat membawa saya terus menjadi pendampingnya dalam manhaj dakwahnya, dan dengan izin Allah, dengan penuh ketulusan saya serahkan hati ini untuk dia sempurnakan ikatan dengan satu lafaz yang merubah segalanya.

Terima kasih Illahi kerana mempertemukan saya dengan dirinya!

PERNIKAHAN IBARAT BERBUKA PUASA, LAFZKANLAH HAJAT JIKA TERASA SUDAH TIBA MASANYA, IAITU SETELAH BEKALAN UNTUK MENAKHODA BAHTERA PERNIKAHAN CUKUP SEISINYA, USAH IA DILAFAZKAN SEAWAL SAHUR, KELAK BASI CINTA DAN RASA LANTAS KAPAL AKAN KARAM KERANA HAMBAR ANGIN CINTA YANG MEMANDUNYA.