Soalan: Seorang Muslim yang berpuasa tetapi tidak solat, apakah status puasanya? Adakah puasanya diterima atau tidak?
Jawapan: Puasa tetap sah tetapi belum tentu diterima Allah. Walau bagaimanapun jika seseorang meninggalkan solat kerana mengingkari atau menolak kewajipan tersebut, maka ia MURTAD dari agama dengan sepakat (ijmak)para ulama'. Orang yang murtad tidak sah ibadatnya termasuk puasa.
Hal ini berbeza jika dia meninggalkan solat kerana malas ataupun cuai, maka jumhur ulama' berpandangan dia FASIQ, yakni tidaklah menjadi kafir tetapi telah melakukan dosa yang amat besar.
Syeikh 'Athiyah Saqar menulis dalam fatwanya: "Sesiapa berpuasa tanpa mengerjakan solat, puasanya adalah sah dan tidak wajib mengulanginya tetapi dari segi penerimaan Allah terhadapnya, maka hadis Nabi Salallahualaihiwasallam menunjukkan dia tidak diterima."
Hadis yang dimaksudkan oleh Syeikh 'Athiyah itu ialah sabda Nabi Salallahualaihiwasallam bermaksud:
"Sesiapa yang tidak meninggalkan kata-kata dusta dan melakukan pendustaan, maka bagi Allah tidak ada keperluan dalam dia meninggalkan makan dan minumnya (yakni Allah tidak berhajat kepada puasanya)."
*Riwayat Imam Bukhari, Abu Daud, at-Tirmizi dari Abu Hurairah R.A*
Jika disebabkan akhlak mazmumah (dusta dan sebagainya) puasa ditolak Allah meskipun secara zahirnya sah puasanya, maka lebih-lebih lagilah dengan meninggalkan solat fardhu yang amatlah besar dosanya, berkali-kali ganda lebih besar dari dosa kerana akhlak mazmumah.
Sumber: Majalah Solusi Isu No.8
Semoga kita semua bersedia memasuki bulan mulia, bulan Ramadhan dengan penuh keimanan InshaAllah.
No comments:
Post a Comment