Khusus buat:
- Anak-anak yang bergelar pelajar perubatan ( di mana jua anda berada)
- Ibu dan ayah kepada anak-anak di atas
Anak-anakku,
Kalian sebenarnya bertuah dipilih Allah SWT mempelajari satu bidang yang amat besar faedah dan manfaatnya buat manusia dan dunia. Apapun yang mendorong kalian membuat keputusan menjadikan bidang ini pilihan, kalian sudah sampai di sini! Betapa ramai rakan kalian yang mengidamkan kerusi yang kalian duduki sekarang ini.
Harapnya, dorongan itu bukanlah semata-mata mahu mencuba nasib, memenuhi hajat dan hasrat kedua ibu bapa dan keluarga yang mahu seorang bergelar `Doktor’ dalam salasilah keturunan, ataupun ingin sentiasa bersama dgn rakan karib lain yang kebetulan juga mendapat tawaran yang sama!
Melihat betapa berlumba-lumba kalian merebut tempat di sekolah perubatan, rasanya seperti ada kempen ` Satu Keluarga Seorang Doktor’ lagaknya.
Jangan kalian terkejut nanti – dengan realiti pengorbanan yang mesti kalian lalui. Perubatan adalah satu lapangan yang perlukan komitmen pembelajaran sepanjang hayat. Kalian sendiri yang perlu mencetus keghairahan mahu menuntut ilmu, bukannya hanya berharap dan bergantung sepenuhnya kepada tenaga pendidik yang menunjuk ajar. Kalian akan mulai mendengar perkataan ` self-directed learning- SDL’, student-centred education, life-long learning, community-based learning, inter-professional learning dll.
Pengajar kalian bukan hanya professor dan pensyarah perubatan, malahan yang bergelar pesakit itulah yang paling banyak mengajar dan memberi tunjuk ajar. Para jururawat adalah mentor yang paling berpengalaman dan perlu diberi penghormatan.
Yang paling utama, akhlak kalian – menjadi pembeza utama antara pengamal perubatan yang mulia dan doktor yang angkuh. Bertuahlah bagi kalian yang sememangnya sudah berbekal dgn didikan sempurna, penuh budi bahasa, tata tertib dan sopan santun yang tinggi semenjak dari rumah lagi. Malanglah kalian yang serba kekurangan dalam aspek ini, sekalipun kalian begitu cerdas mengumpul deretan `A+’ dalam transkrip keputusan peperiksaan saban semester.
Untuk para ibu dan ayah kepada anak-anak yang bergelar pelajar perubatan,
Mohon dipastikan kalian sudah menyediakan anak-anak kalian dengan baik dan sempurna – terutamanya dalam aspek rohaniah dan akhlaqiah mereka. Mereka akan menjadi doktor perubatan – bukan calang-calang profesyen! Pastikan mereka menjadi pengamal perubatan yang tawadhuk dan sentiasa berhubung erat dengn Rabb.. Selitkan doa yang tidak pernah kunjung padam setiap masa dan ketika, moga Allah SWT memberi bimbinganNya buat anak-anak ini.
Sekiranya kalianlah menjadi SEBAB utama anak-anak berada di sekolah perubatan hari ini, sedangkan itu bukan keinginan dan minat mereka sendiri, bersedialah untuk meminta maaf kepada mereka – terutamanya jika mereka akan berhadapan dgn kesukaran dan keperitan memenuhi hajat dan cita-cita kalian itu. Sokong dan dokonglah mereka sehingga ke akhir nanti – kerana cubaan dan dugaan yang perlu anak-anak ini hadapi bukanlah setakat semasa dalam latihan sahaja, malahan yang lebih mencabar adalah ketika terpikul di bahu mereka tanggungjawab dan amanah yang berat apabila bergelar doktor nanti!
InsyaAllah, kalian akan sentiasa dilindungi Allah SWT dari segala bencana selagi mana penggantungan hanyalah kepada Allah semata-mata.
From
Dr Harlina Halizah Siraj
No comments:
Post a Comment