Saturday, September 11, 2010

Surat-surat Perempuan Johor



"Puji itu bagi Tuhan yang menaruhkan di dalam hati itu rindu dendam kepada habib. Dan selawat atas Nabi-Nya dan Alinya dan Ashabnya ahlil khair wal ihsan. Bahawasanya inilah shahifah al-mahabah, daripada faqir ila 'afwi rabbihir ridhwani Ungku Hamidah Gul diperhadapkan dengan taslimat yang faiqah. Dan tahiyat yang raiqah. Kepada al-Janab Kakanda Tuan Recep yang memiliki akhlak budi yang tampan, kerana inilah waraqah mardhiyah yang dihiasi dengan semulia-mulia tahiyah kepada hadrat bahjah al-aiyam wa al-layali. Wa faridah durari taj al-ma'ali"

Itu adalah salah satu petikan jiwa-jiwa dari novel Surat-Surat Perempuan Johor. Alhamdulillah, baru selesai membacanya tadi. Antara buku yang menjadi target untuk cuti musim panas. Tanpa melihat sinopsis, tangan terus menggapai kerna yakin tuan empunya tidak menyiakan ruang kabinet untuk novel yang tiada manfaat. Bagi peminat sastera, ini adalah sebuah buku yang patut dimiliki. Ia memuatkan sisipan sejarah diantara Johor dan Turki, menjulang wanita sebagai pejuang agama. Semuanya dalam lenggok bahasa yang saya sangat senangi.

Jarang membaca novel melayu. Rimas dengan watak si kacak yang kaya, si cantik yang miskin. Saling berkenalan tatkala mobil saling berlanggaran. Dialog yang bercelaru. Basi. Ya! Ada karya bahasa melayu yang berkualiti. Lebih cantik kalau ia bersulamkan dakwah. Karya ini sememangnya menambah cinta saya terhadap sastera melayu.

Saya akhiri dengan beberapa petikan lain dalam novel ini. Salam buku!

"Aduh kanda tunku terasa malu tetapi jika ia sudah ketentuan jodoh tak siapa dapat menolaknya, bukankah begitu? Harapnya kita menjadi seperti Siti Khadijah waspada memikat, bukan tergiur hingga nafsu alah menguasai".

"Ayah, maafkan saya. Sungguh saya amat merindui ayah. Pada waktu ini, tidak ada satu apa pun yang dapat difikirkan, kecuali ayah dapat menyertai gerakan yang saya gerakkan ini, iaitu melihat semula sejarah, memutarnya jika perlu, menggunakan metodologi Barat atau pendekatan orientalis itu sendiri untuk mendedahkan kerendahan dan kekerdilan mereka. Tidak ada apa yang perlu dibanggakan dengan Barat, menjadi Barat, atau menyukai Barat tanpa sebab yang kukuh".